Melanau Aku Tidak Pernah Menolak Takdirnya: Intepretasi Siratan Makna Lambang-Lambang Semiotik Pierce
Keywords:
Semiotik Pierce, ikon, lambang-lambang, indeks, symbolAbstract
Pengarang merupakan arkitek dalam binaan sesebuah teks menerusi perantaraan bahasa sebagai wahana menyampaikan perasaan, emosi, imaginasi, ilusi, ideologi, pemikiran dan falsafah sama ada secara tersurat mahupun tersirat. Pengarang yang hendak menyirati makna dalam sesebuah karya akan menggunakan lambang-lambang atau tanda sebagai simbolik kepada makna yang hendak disiratinya. Justeru, kajian ini bertujuan untuk menyirati makna ikon, indeks dan simbol dalam novel Melanau Aku Tidak Pernah Menolak Takdirnya karya Dahiri Saini (2020). Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif dengan memberikan fokus kepada analisis teks dengan berlandaskan teori Semiotik Pierce (1958). Hasil perbincangan memperlihatkan teks ini sarat dengan penggunaan tanda-tanda yang diwakili ikon, indeks dan simbol dalam usaha pengarang menyampaikan pemikiran, mesej, nilai dan isu yang hendak diketengahkan kepada khalayak. Penanda bayangan dan analogi digunakan dengan signifikan bagi menyirati petanda ikon dalam teks ini. Sementara hiperbola, personifikasi dan alegori pula menyirati makna indeks manakala imej dan simile pula menyirati petanda simbol. Kesimpulannya, penggunaan tanda-tanda dalam teks kajian menyerlahkan aspirasi, harapan dan misi pengarang untuk memartabatkan kaum Melanau sebagai kaum yang hebat dan memiliki karisma.